Hola ~
Mula berpusu-pusu manusia menciptakan kontroversi tentang pemergian Malique yang bertahun-tahun hilang. Malique suka membuatkan manusia berprasangka tentangnya. Sebab tu, dia tak pernah kehilangan peminat yang setia dari zaman Too Phat lagi. Isu kehilangan Malique ni dah lama tutup. Timbul balik apabila lagu-lagunya mula dipasang secara 'berhantu' dan mesej di sebalik lagunya dikatakan tentang pemberitahuan tentang keadaan dirinya sekarang. Tapi, itu semua rahsia. Hanya Tuhan serta Malique tahu akan hakikat hidupnya. Maka, manusia sekalian, silalah berprasangka lagi. Hakikatnya, tidak akan diselesaikan selagi yang masih wujud tidak tampil.
Hari ini gua akan cuba merungkaikan lagu Pejamkan Mata karya Malique ni. Sejujurnya aku mengatakan bahawa lagu ini sangat-sangat berat. Memang lagu ini sangat berkias. Orang cakap, lagu Malique ni hanya orang tassawuf je yang boleh rungkaikan. Tapi aku nak try juga, mana tahu ada kebolehan untuk merungkai (
call saya jika ada kerja kosong berkaitan merungkai isi-isi kiasan).
Aku juga sediakan glosari untuk a few words yang
*maybe* korang tak faham.
Kencana - Emas
Gawai - kerja, tugas, pegawai
Kedana - Miskin
Sawai - Tak sedarkan diri kerana kemasukan halus
Lembayung - Biru kemerah-merahan
Hering - Burung pemakai bangkai
Canggung - Malu-malu
Resiprokal - berbalasan (timbal balik)
Equivokal - samar-samar
Logaritma - menjadikan lebih mudah
Tafakur - termenung memikirkan sesuatu dengan bersungguh-sungguh
Kantor - pejabat (bahasa indonesia)
Diktator - pemerintah mutlak
Shabab - anak muda lelaki (bahasa arab)
Kasur - memperoleh kesenangan
Masyghul - dukacita
Runsing - merisaukan
Solusi - penyelesaian
Revolusi - perubahan yang dilakukan dengan kekerasan
Lorazepam - ubat untuk anxiety disoder
Ambien - ubat untuk kawalan insomnia
Risperdal - ubat untuk skizofrenia
Afdal - lebih utama
Astral - pengaruh roh (spirit)
Dogma - kepercayaan yang harus terima tanpa mempertikaikan
Stigma - sifat atau sesuatu yang jatuhkan maruah
Pituitari- berhampiran dengan bahagian belakang (biologi)
Nirwana - dalam keadaan yang lenyap dan aman sesudah mati (amalan buddha)
Samsara - kelahiran semula (berulang tanpa henti)
So, mari kita merungkai maksud lagu ini. Sebelum apa-apa, aku tafsirkan melalui kacamata aku. Terpulang jika mahu beresetuju atau tidak, hakikatnya, ilmu itu milik Allah S.W.T
BISMILLAH~~~
Sebermula maka dipaksa diam
Dengar, patuh dan terpaku tunduk
Selesakan di bawah, sujudnya rujuk telunjuk
Tenagamu kencanaku katanya fitrah gawai
Kedanamu ketawaku dekahnya hingga sawai
Berontak, dongak, lembayung ku ternampakkan
Si hering menyorak, ngoyak awan canggung dan berantakan
Dah diragut total, cinta resiprokal
Bila dipersoal kekal equivokal
Kisah rangkap ini kemungkinan bercerita tentang kisah rakyat marhaen sekarang. Rakyat yang tidak dilahirkan sebagai CEO syarikat ternama atau keluar dari ketuban terus menjadi bos besar. Ini ditegaskan di bait " Tenagamu kencanaku katanya fitrah gawai, Kedanamu ketawaku dekahnya hingga sawai " So, hakikatnya orang atasan sekarang yang memijak sesuka hati orang bawahan atas alasan mereka tidak setaraf dalam segi ekonomi, pelajaran serta pangkat. Perkara ini bukan lagi perkara yang asing bagi masyarakat Melayu serta Malaysia. Sudah dididik untuk takut pada kemiskinan yang baginya tiada lagi harapan untuk berjaya. Jelas, kita sebenarnya akur pada arahan manusia yang beranggapan diri itu tuhan daripada tuhan yang sebenarnya tuhan. Kita takut untuk membentak kerana keadaan yang mendesak untuk akur. Bukan salah mereka-mereka, salah kepada sistem-sistem yang menindas tanpa sedar.
Katanya tanggal tali leher itu
Cukuplah seharian digembala
Lupuskan logarithma yang menghantui kepala
Dalam tafakur, akur, sadur mimpi yang dikabur
Karektor kartun kantor dan karikatur diktator
Dikabur takbur shabab yang bermusim
Tak punya tempat di benak jiwaku jemaah mereka bermukim
Al-Malik, Al-Kudus, As-Salam, Al-Mukmin
Ubat gementar senja suara ngekor roh ke kasur
Masyghul, runsing… jah
Rangkap ini pula menceritakan tentang kesinambungan rangkap pertama. Tali Leher dan Gembala yang memberi maksud kepada keakuran terhadap arahan yang menindas. Logaritma yang menghantui kepala ialah setiap kesenangan masa depan bukan melalui cara mudah. Adat untuk bersusah payah sebelum berjaya itu benar. Usah memikirkan cara mudah yang akhirnya membinasakan diri sendiri. Karektor kartun kantor dan karikatur diktator merupakan cerminan sistem pekerjaan kita. Dimana tempat kerja itu diumpamakan sebagai pejabat yang mengumpulkan kerah-kerah pekerja dan diktator ialah bos yang kita harus hadap untuk menyembahkan segala hasil kerja keras dan dia yang memilih untuk memberi kata putus samada layak atau tidak diberi upah. Yang mana, kita tiada langsung hak untuk mempertahankan HANYA AKUR! Nama-nama Asmaul Husna ini memberi maksud untuk meneliti kembali apa yang harus kita balik setelah berputus asa dengan dunia. Sekarang, zaman dimana masing-masing mengeluh dan mengeluh tapi tidak kembali padaNya.
Al-Malik -Maha Merajai/ Menguasai /Pemerintah, iaitu mengatur kerajaanNya sesuai dengan kehendakNya sendiri.
Al-Qudus - Maha Suci, iaitu tersuci dan bersih dari segala cela dan kekurangan.
As-Salam - Maha Penyelamat, iaitu pemberi keselamatan dan kesejahteraan kepada seluruh makhlukNya.
Al-Mukmin - Maha Pengaman / Pemelihara keamanan, iaitu siapa yang bersalah dan makhlukNya itu benar-benar akan diberi seksa, sedang kepada yang taat akan benar-benar dipenuhi janjiNya dengan pahala yang baik.
Sengsara mana pun kita, Ingat! Pada Tuhan kita kembali.
Aku terdengar suara itu lagi
Dari tenggara namaku diseru
Disuruh hembusnya lilin di setiap empat penjuru
Katanya mata penamu tak mencoret solusi
Kata magismu takkan mampu cetus revolusi
Manusia kan sentiasa menyakiti
Yang tak membunuh buatmu kebal sehari lagi
Masa untuk koktel Lorazepam, Ambien, Risperdal
Semoga afdal bertemu di astral
Selamat tiba kita ke republik cinta
Lagenda dimensi ruang dan waktu tak bersempadan
Halaman terbentang suci, dicuci noda dan nista
Terhapus dogma dan stigma, kepincangan dan kehilangan
Arasy yang tiada penghuni mengugut buli
Tak perlukan runut bunyi, sembunyi, bersunyi sakan
Di hati dan pituitari menarinya tanpa bumi
Menyanyinya tanpa bunyi, keghaibannya kita raikan
Rangkap ini mengisarkan tentang perubahan setiap yang salah tidak akan selesai dengan cara menulis serta berkata-kata secara lantang. Hakikatnya, setiap perubahan memerlukan langkah-langkah berani untuk mula merubah keselesaan jahat. Setiap langkah benar atau betul, pasti ada mulut-mulut yang secara sengaja membunuh dari belakang serta meragut kekuatan. Suara yang dinyatakan kemungkinan suara hati yang berbisik. Keraguan. 4 penjuru mungkin hati yang harus dihembuskan keyakinan (bersikap syumul : keseluruhan). Manusia ini bersifat lemah. Keimanan tidak seteguh istana. (Bab tassawuf ni, tak berani nak olah sangat)
Hakikatnya nirvana di sana
Di sini masih lagi samsara
Cuba tak diperhambanya dunya
Sukar tapi aku cuba
Sukar tapi aku cuba ya
Rangkap ini lebih kepada pemberitahuan tentang nirvana (iaitu alam sana) yang hakiki dan kekal yang aman (iaitu syurga) dan disini (dunia) masih lagi belum habis teroka untuk bekalan alam sana. Cuba untuk tidak menjadi hamba (baca : tunduk) pada dunia kerana buka sini tempat kita kekal tetapi alam sana (akhirat)
Akhirulkalamm ~
Fuh ! Akhir sudah pentafsiran lagu Pejamkan Mata ini. Serious talk ! Berpeluh aku menghabiskan. 3 hari (1 hari baca dan hafal, 2 hari cuba tafsirkan) seolah-olah 100 tahun untuk menghabiskan. Maaf sekiranya lari dari maksud asal. Sesungguhnya, aku hanya manusia biasa yang 'cuba' untuk mentafsirkan. Selamat membaca dan terima kasih sebab membaca. Sesungguhnya, Tuhan Maha Pemilik Ilmu. Silakan komen hujah anda jika membantah dan pandangan jika mahu aku berjaya lagi.
Rujukan makna perkataan adalah SAHIH (ambil di laman web DBP ONLINE)
ADIOS~~~
p/s : Malique, stay strong bro. Love your masterpiece !